بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم

salam
Daisypath Anniversary tickers Lilypie First Birthday tickers

Tuesday, May 10, 2011

Nota Buat Diri

Pejam celik mata, tarik hembus nafas, denyut-denyut nadi ianya menghampiri penghujung. Sungguh pantas masa berlalu. Tidak lagi boleh di undur, hanya mampu mengorak langkah dengan umur dan kudrat yang masih dikurniakan Ilahi. Alhamdulillah. Fatrah hidupku sebagai seorang peraih ilmu sarjana muda di bumi UIA akan berakhir. Dan selepas ini berkemungkinan perjalanan yang berbeza akan ku lalui.

Sungguh banyak ibrah yang diperolehi sepanjang hayatku menuntut ilmu. Segala cabaran, dugaan, nikmat dan rahmat membawa seribu satu hikmah untuk seorang hamba Allah. Secara tidak langsung, segalanya mengajar dan memberi erti dalam hidup.Itulah dinamakan sekolah kehidupan.

Namun sejauh manakah ilmu yang ada akan di aplikasi pada kehidupan? Terbaca suatu kata-kata dari Imam Malik bin Anas r.a.:
"Yang bernama ilmu itu bukanlah kepandaian atau banyak meriwayatkan sesuatu, melainkan hanyalah nur yang diturunkan Allah ke dalam hati manusia. Adapun bergunanya ilmu itu adalah untuk mendekatkan manusia kepada Allah dan menjauhkannya dari kesombongan diri."

Moga 'nur' itu sentiasa ada menyuluh dan menerangi perjalanan hidup di dunia dan akhirat.

Ukhuwwah..Ya Allah rahmati dan redhailah ukhuwwah yang terjalin ini. Moga terus ditautkan
hati-hati untuk terus berukhuwwah atas namaMu.

Dakwah.. Ya Allah semoga perjuangan dalam menuntut ilmu ini menguatkan diri dan hati untuk terus berdakwah menegakkan kalimahMu.

Tarbiyyah..Ya Allah Kau kuatkan lah diri untuk istiqamah dalam mentarbiyyah dan ditarbiyyah.

Thursday, May 5, 2011

Doa Senjata Mukmin

Kematian Osama bin Laden

  1. Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam. Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain.
  2. Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut. Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti.
  3. Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin ? Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel. Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas.
  4. Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.
  5. Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?

Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M

~ hidup dan mati di tangan Allah~

Wednesday, May 4, 2011

Mukmin Ajaib

Bismillahi walhamdulillah. All praises to Allah, The Most Gracious and Most Merciful.

Hidup ini ibarat roda, terkadang di atas terkadang di bawah. Mendapat sesuatu nikmat lazimnya disyukuri, namun musibah juga seharusnya diredhai. Sudah menjadi lumrah kehidupan kita kan melalui saat-saat senang dan susah,tinggal saja cara untuk kita mengendalikan keadaan tersebut. Ingin mencontohi dan menjadi di kalangan yang beriman dalam segala tindak-tanduknya. Sungguh beruntung dan ajaib jika menjadi orang beriman. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

" Sungguh ajaib dlm urusan orang mukmin.Sesungguhnya setiap urusan baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberikan sesuatu yg menggembirakan lalu dia bersyukur, dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar. Maka kebaikan baginya" (Riwayat Muslim)
Kita selalu mengharapkan yang indah belaka. Siapa tak mahu pada kesenangan dan ketenangan hidup, kejayaan besar , kedudukan atau pangkat yang tinggi? Mungkin ada manusia yang mengecapi semua itu, namun adakah semua itu datang bergolek? Sesekali tidak kerana semuanya memerlukan usaha dan kerja keras. Jadi harapan dan impian yang ingin digapai perlu lah seiring dengan tindakan yang betul berlandaskan syariat. Andai di tengah jalan kita terjatuh maka bersangka baiklah pada Allah. Bergerak naik dengan secepatnya, bukan dengan memanjangkan kesedihan. Itu lah sebuah harapan. Jangan biarkan harapan itu menjadi angan-angan. Sebuah angan-angan yang hanya bermain di minda namun takkan pernah kesampaian hajat dan pengakhirannya.

Oleh itu, jadikanlah segala yang susah atau kegagalan hari ini pemangkin buat kejayaan yang akan datang. Segala yang datang dan pergi dalam hidup kita adalah hak milik Allah yang Esa.

" Allah menghapuskan apa yang dikehendakiNya dan menetapkan apa yang dikehendakiNya dan di sisi Allah ada umm al-kitab(loh mahfuz)" (Surah Ar-Ra'd :39)

Antara harapan dan angan-angan, antara cita-cita dan cinta, antara fantasi dan realiti.